KUALA LUMPUR, 5 Julai – Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846), yang berkuat kuasa hari ini, merupakan langkah penting bagi Malaysia untuk bergerak secara selari dengan dengan norma hak asasi manusia antarabangsa dan peningkatan penentangan global terhadap hukuman itu.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mengalu-alukan pemansuhan itu, berkata para hakim kini diberikan prerogatif dan budi bicara untuk mempertimbang keadaan tertuduh atau keadaan tertentu sesuatu kesalahan.

“Tertuduh boleh dijatuhi hukuman berdasarkan keadaan khusus sesuatu kes. Dalam keadaan ini, hukuman mati hanya akan dihadkan kepada ‘jenayah paling serius.’

“Selain itu, belum ada sebarang penyelidikan yang meyakinkan bagi membuktikan bahawa Hukuman Mati Mandatori berjaya mencegah jenayah di Malaysia,” katanya sambil menambah undang-undang baharu itu akan memberi kesan kepada 1,340 banduan yang menunggu hukuman mati dan menyelamatkan nyawa mereka.

Beliau berkata ia akan terpakai secara retroaktif dan membolehkan mereka yang dihukum mati memfailkan semakan terhadap hukuman mereka di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 90 hari.

Geethan berkata ini bermakna hukuman mati akan diketepikan dan mereka akan dihukum semula mengikut pindaan itu.

Berkongsi pandangan sama, peguam Salim Bashir berkata pemansuhan hukuman mati memberi sinar harapan kepada banduan untuk kembali ke pangkuan keluarga dan orang tersayang serta berubah dalam kalangan masyarakat selepas menjalani hukuman penjara selama 30 hingga 40 tahun.

Peguam Datuk N.Sivananthan pula berkata pemansuhan itu adalah perkembangan yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama dan sejujurnya beliau tidak pernah menjangkakan bahawa ia akan berlaku.

“Saya sering merasakan bahawa hukuman mestilah mengikut budi bicara seorang hakim dan hukuman mati mandatori sentiasa membelenggu hakim yang mendengar kes yang membawa hukuman mati.

“Ini juga akan membolehkan hanya pesalah atau kes yang paling teruk dikenakan hukuman mati, jika ada,” katanya sambil menambah pemansuhan itu terpakai kepada semua banduan yang berdepan hukuman mati tanpa mengira kewarganegaraan.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Jun yang disiarkan Jabatan Peguam Negara, tarikh berkuat kuasa akta berkenaan ditetapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Pada 3 April lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang antara lain bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.

Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here