KULIM, 15 Julai – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM10 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu melicinkan program yang dirangka agensi itu dalam usaha membantu Sahabat Usahawan di seluruh negara. 

Beliau berkata ia merupakan peruntukan awal untuk AIM, yang kini memiliki 326,510 Sahabat Usahawan di seluruh negara, sebelum tumpuan lebih khusus kepada agensi itu diberikan dalam Belanjawan MADANI 2024 yang bakal dibentang pada Oktober ini.

“Bagi memastikan kelicinan program AIM sebelum Oktober ini di mana saya boleh kaji secara menyeluruh keperluan AIM dan bagaimana tingkat kegiatannya, menambah jumlah Sahabat Usahawan, saya pada petang ini meluluskan peruntukan RM10 juta untuk AIM,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Karnival Sahabat Usahawan AIM yang menghimpunkan sejumlah 8,000 Sahabat Usahawan Wilayah Kedah dan Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.

AIM, yang ditubuhkan pada 17 Sept 1987, telah membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan negara dan berjaya menjangkau empat juta isi rumah menikmati pelbagai manfaat menerusi Skim Pembiayaan Ikhtiar (Ekonomi dan Sosial).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here