KUCHING, 16 Sept – Kerajaan akan mengumumkan langkah penyelesaian bagi isu menara telekomunikasi yang tidak berfungsi di Sarawak sebelum hujung bulan ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata buat masa ini perbincangan bersama syarikat-syarikat telekomunikasi sedang dijalankan untuk mencari penyelesaian terbaik buat isu yang digelar sebagai ‘menara tiada kuali’ itu.

“Sekiranya perbincangan berjalan dengan lancar, bakal ada pengumuman baik untuk menyelesaikan secara menyeluruh isu ‘naked tower’ di Sarawak.

“(Kita harap selepas ini) kesalinghubungan dapat ditingkatkan lagi selepas pengumuman itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis apresiasi Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di sini hari ini.

Pada 19 Mei lepas, Fahmi dilaporkan berkata pihak Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) telah berjaya membina lebih 600 menara telekomunikasi di Sarawak setakat ini. 

Fahmi berkata daripada 600 menara itu, kira-kira separuh telah dioperasikan oleh syarikat telekomunikasi.

Sementara itu, dalam ucapannya pada acara itu, Fahmi berkata penduduk di Sarawak kini mempunyai banyak pilihan untuk mengatasi isu capaian Internet lemah termasuk menggunakan peranti satelit Starlink.

“Kini kita mempunyai banyak pilihan termasuk Starlink yang boleh digunakan di kawasan luar bandar jadi manfaatkan peranti ini sebaiknya,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here