IPOH, 24 Sept – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya memasukkan Pesta Kuih Bulan Octagon ke dalam kalendar rasmi Tahun Melawat Perak 2024.

Nga berkata menerusi pesta itu akan ada pelbagai pertunjukan kebudayaan masyarakat Tionghua yang boleh ditonjolkan kepada orang ramai.

“Saya ingin tegaskan kepelbagaian budaya, kepelbagaian bahasa adalah keistimewaan dan kekuatan negara kita. 

“Apabila kita bertapak di persada antarabangsa dan pentas dunia, kepelbagaian ini yang memberikan kita kelebihan dan kita harus menghargai ini sebagai warisan bangsa Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perayaan Kuih Bulan Octagon dan Majlis Pembukaan Pesta Makanan Jalanan Paloh di sini malam ini.

Beliau berkata di bandar raya ini terdapat Gerbang Malam yang mewakili masyarakat Melayu, Little India Ipoh yang mewakili masyarakat India dan Gerbang Paloh pula mewakili masyarakat Tionghua yang secara langsung menonjolkan aspek perpaduan dalam kepelbagaian melibatkan kaum berkenaan.

“Apabila Melayu, Cina, India bersatu, kita akan lebih teguh bersama dan perpaduan dalam kepelbagaian ini adalah satu amalan akhlak mulia yang wajib dipupuk dan didukung bersama,” katanya.

Perayaan Kuih Bulan merupakan satu perayaan terpenting selain Tahun Baharu Cina yang disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan, selain dengan kuih bulan itu sendiri.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCCI) Datuk Liew Chee Ming dalam ucapannya berharap pelancaran Pesta Makanan Jalanan Paloh pada malam ini boleh menjadi tarikan baharu supaya lebih ramai pelancong ke Ipoh untuk melancong dan menjamu selera.

“Kami juga berharap agar pihak Majlis Bandaraya Ipoh dapat membantu pihak swasta dalam mewujudkan lebih banyak tarikan pelancongan baharu supaya pelancong dapat meninggalkan kenangan dan pengalaman yang indah terhadap bandar raya Ipoh dan kembali melancong pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin ketika berucap berkata Ipoh berpotensi untuk ditonjolkan kelainan, keunikan produk dan kepelbagaian resam budaya di lokasi tumpuan pelancongan yang dapat menjadi sumber tarikan pengunjung.  

Katanya pihak terlibat juga boleh mengambil peluang memperkasakan ekonomi bandar raya Ipoh menerusi sektor pelancongan yang berpotensi untuk dikembangkan kerana kedudukannya yang strategik dan terletak di Lembah Kinta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here