PASIR MAS, 4 Okt – Kerajaan Negeri sedang menyiapkan kertas kerja bagi menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang sudah sekian lama berlaku di Kelantan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin.

Beliau berkata kertas kerja itu merangkumi hala tuju yang berkaitan dengan kerja-kerja penggantian paip secara menyeluruh dan berperingkat.

“Kertas kerja ini diteliti dalam mesyuarat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi memastikan masalah berkenaan dapat diselesaikan segera, dan akan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB),” katanya.

“Kelantan mempunyai kira-kira 4,000 kilometer (km) paip yang bermasalah di seluruh negeri dan perkara ini akan dilihat dari segi masa serta kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Mini Meranti Baharu, oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, di Loji Rawatan Air Meranti Baharu Pasir Mas di sini, hari ini.

Dr Izani berkata pada masa sama, kerajaan negeri sudah mengarahkan AKSB untuk memberikan respons secepat mungkin terhadap setiap masalah melibatkan perkhidmatan air.

“Respon ini penting dalam usaha memastikan masalah bekalan air dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Untuk usaha ini, kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dalam menyokong dan menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan masalah melibatkan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here