KUALA LUMPUR, 12 Okt – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menggesa pemain dalam industri komunikasi dan multimedia (C&M), memainkan peranan penting dalam membangunkan keupayaan untuk berinovasi dan menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang sentiasa berubah.

Memetik laporan Institute for the Future (IFTF) yang diterbitkan Dell Technologies, beliau berkata dengan kemunculan teknologi baharu, 85 peratus daripada pekerjaan yang akan ada pada 2030, pada masa ini masih belum diciptakan.

“Ini mengambarkan bahawa kadar perubahan akan menjadi pantas dan orang ramai perlu ‘belajar pada ketika itu’ menggunakan teknologi baharu, seperti realiti terimbuh dan realiti maya. Keupayaan untuk menimba ilmu akan lebih bernilai daripada pengetahuan itu sendiri.

“Oleh sebab itu, anda (pemain industri) juga perlu melabur dalam infrastruktur dan bakat yang diperlukan, untuk menyokong pertumbuhan dan pengembangan anda. Bersama-sama, kita boleh membina industri C&M yang bertenaga dan berdaya saing, yang boleh menyumbang kepada ekonomi Malaysia,” katanya dalam ucapan perasmian pada Malam Anugerah Pembangunan Kapasiti MCMC 2023, malam ini.

Fahmi berkata pembangunan kapasiti dan keupayaan adalah penting, memandangkan industri itu merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dan mempunyai persaingan yang tinggi, dengan mereka yang terlibat dari sektor awam dan swasta, bersaing untuk mendapatkan bahagian pasaran.

Beliau berkata terdapat banyak negara seperti Finland, Singapura dan Thailand yang telah mula melabur dalam ekonomi digital, dalam memastikan mereka menjadi lebih inklusif, cekap dan inovatif, dengan memanfaatkan teknologi digital.

“Mereka telah pun melancarkan strategi dan inisiatif jangka panjang bagi meraih faedah daripada ekonomi digital, pada masa yang sama, berjaga-jaga terhadap risikonya. Malaysia tidak terkecuali,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here