KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.5 peratus pada Ogos 2019 kepada 121.8 berbanding 120.0 pada bulan yang sama 2018, menurut Jabatan Perangkaan hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, 396 item menunjukkan peningkatan pada Ogos 2019 berbanding Ogos 2018, manakala 117 item mencatatkan penurunan dan 39 item lain tidak berubah.

“Kenaikan indeks keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.2 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (2.6 peratus); minuman alkohol dan tembakau (2.5 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.5 peratus); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.3 peratus) dan komunikasi (2.2 peratus),” menurut jabatan itu.

Bagi perbandingan bulanan, IHP menunjukkan peningkatan sebanyak 0.2 peratus berbanding bulan Julai 2019, dengan disokong terutama oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.5 peratus); pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.5 peratus); makanan dan minuman bukan alkohol (0.2 peratus); kesihatan (0.2 peratus) serta restoran dan hotel (0.2 peratus).

Sementara itu, IHP bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus berbanding tempoh yang sama 2018.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here