KUALA LUMPUR, 16 Okt – Malaysia berharap untuk terus menarik pelaburan berkualiti tahun depan, yang memberikan kompleksiti ekonomi yang lebih tinggi dan inklusif dari segi pertumbuhan untuk rakyat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata memandangkan Malaysia mencapai pelaburan yang diluluskan berjumlah RM132.6 bilion pada separuh pertama 2023 (60 peratus daripada sasaran setahun penuh), kementerian itu menjangkakan ia akan terus mencapai lebih banyak pertumbuhan yang kukuh pada tahun hadapan.

“Sudah tentu apabila melibatkan pelaburan, ia juga bergantung kepada apa yang berlaku di peringkat global. Kami melihat pertumbuhan perdagangan menyederhana tahun ini.

“Kami akan menjadi lebih selektif (dari segi pelaburan langsung asing), melihat sektor yang sesuai seperti elektrik dan elektronik, kimia dan petrokimia, dan kami juga baru sahaja mengumumkan pelbagai insentif cukai dan geran untuk sektor ini,” katanya dalam temu bual dengan Bloomberg News.

Inisiatif tersebut termasuk pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli motosikal elektrik.

Tengku Zafrul berkata bahawa Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah belanjawan yang bertanggungjawab, sambil menyatakan bahawa Perdana Menteri juga bercadang untuk melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal.

“Unjuran defisit belanjawan kami adalah sekitar lima peratus untuk tahun ini, dan kami menjangkakan ini akan turun kepada 4.3 peratus tahun depan.

“Secara keseluruhannya, ia masih merupakan belanjawan pengembangan. Kami menjangkakan jumlah belanjawan adalah sekitar US$80 bilion (RM393.8 bilion),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here