SHANGHAI, 6 Nov – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia  (MATRADE)  menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak peluang eksport di China dengan menyelaraskan penyertaan 10 syarikat tempatan dalam pelbagai sektor pada Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) keenam.

Pesuruhjaya Perdagangannya Damian Santosh Samson berkata agensi itu optimis acara yang diadakan di sini dari semalam hingga 10 Nov itu dapat membantu meningkatkan kejelasan produk dan perkhidmatan Malaysia di pasaran antarabangsa, khususnya China.

“China telah menjadi pasaran import yang sangat penting untuk Malaysia dan CIIE merupakan pameran khusus untuk import.

“Memandangkan kita berada dalam era pasca pandemik, kita kini menyaksikan ekonomi mula kembali pulih dan kita mahu syarikat Malaysia mengambil peluang dengan peningkatan trend pembelian di China,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Antara syarikat yang menyertai ekspo itu ialah Soon Soon Oilmills Sdn Bhd, Imagine Innovation Sdn Bhd, Optimal Nutrition Sdn Bhd dan Fuciphagus Agritech Sdn Bhd.

CIIE dihoskan oleh Kementerian Perdagangan dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Shanghai dan dianjurkan oleh Biro Ekspo Import Antarabangsa China serta Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (Shanghai).

CIIE tahun ini yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan itu telah menarik peserta dan pengunjung dari 154 negara, wilayah dan organisasi antarabangsa.

Lebih 3,400 peserta pameran dan hampir 410,000 pelawat profesional telah mendaftar untuk acara itu, menunjukkan pemulihan penuh ke tahap sebelum pandemik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here