KUALA LUMPUR, 24 Nov – AirAsia X (AAX) akan melebarkan sayapnya ke Asia Tengah sebagai syarikat penerbangan Malaysia pertama yang terbang secara langsung ke Almaty, Kazakhstan bermula 14 Mac 2024.

Dalam kenyataan hari ini, katanya tambang promosi pengenalan bermula daripada RM99 untuk tambang termasuk semua — sehala bagi tempat duduk ekonomi untuk tempahan bermula 24 hingga 30 Nov 2023 untuk tempoh perjalanan antara 14 Mac dan 26 Okt 2024.

Menurut syarikat penerbangan itu, penerbangan AAX ke Asia Tengah membuktikan prestasinya sebagai syarikat penerbangan jarak sederhana, sekali gus yakin akan menyumbang peningkatan yang tinggi bagi perjalanan dua hala antara Kuala Lumpur dan destinasi unik ini dengan aksesibiliti yang lebih berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Benyamin Ismail berkata langkah untuk memperkenalkan penerbangan langsung ke Almaty dijangka mendorong pertukaran perdagangan, perdagangan dan pendidikan, dengan mengambil kira status Kazakhstan sebagai negara terkaya di Asia Tengah.

“Sempena sambutan ulang tahun ke-16 AirAsia X pada bulan ini, kami tetap komited untuk menyediakan penyambungan yang tiada tandingan dengan tambang bernilai hebat untuk destinasi kegemaran tetamu kami. 

“Dengan laluan baharu ini, matlamat kami bukan sahaja untuk meningkatkan peluang perjalanan antara dua destinasi besar dan berpenduduk, malah untuk mengukuhkan lagi ikatan yang terjalin antara Kazakhstan dan Malaysia selain memajukan sektor sosioekonomi di kedua-dua negara,” katanya.

Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia Bulat Sugurbayev berkata hubungan udara secara terus antara Kuala Lumpur dan Almaty dijangka meningkatkan sektor pelancongan dan perdagangan serta memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Almaty akan berlepas pada 12.50 tengah hari, manakala dari Almaty ke Kuala Lumpur akan berlepas pada 8.05 malam, setiap Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua laluan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here