KLANG, 4 Dis – Sebanyak 87,282 perniagaan dari seluruh negara telah didaftarkan menerusi Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dari 1 Jan 2021 hingga 31 Nov lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Ahmad Sabki Yusof berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 50,782 merupakan golongan usahawan B40 manakala bakinya merupakan pelajar-pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.

Ahmad Sabki berkata SPPP yang diperkenalkan pada 23 Dis 2020 itu merupakan inisiatif SSM bagi membolehkan usahawan kumpulan B40 dan pelajar IPT sepenuh masa mendaftarkan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dengan pengecualian fi.

“Untuk SPPP ini, kebanyakannya perniagaan berbentuk runcit, gerai makan kecil-kecilan di tepi jalan (yang banyak berdaftar).

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua peniaga yang belum lagi mendaftarkan perniagaan mereka untuk mengambil peluang berbuat demikian bagi menikmati manfaat berkenaan,” katanya selepas merasmikan Program Semarak Daya Niaga Usahawan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Sabki berkata sejumlah 2.2 juta perniagaan, 369,671 syarikat diperbadankan dan 15,114 perkongsian liabiliti terhad telah direkodkan berdaftar dengan SSM Selangor setakat 31 Okt lepas.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here