KUALA LUMPUR, 16 Sept — Semangat perpaduan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia terus menyerlah meskipun negara kini berdepan cabaran dalam menangani penularan pandemik COVID-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Suriani Ahmad berkata, hikmah daripada pandemik itu telah menonjolkan kebaikan dan keutuhan rakyat, termasuk ketika negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.

“COVID-19 ini ‘a blessing in disguise’. Sifat patriotisme ini sebenarnya paling banyak terpamer semasa pandemik ini. Kita tidak perlu mempamerkan sangat dalam bentuk fizikal seperti kehadiran beramai-ramai (pada sambutan satu-satu majlis), cukup sekadar menzahirkan secara perasaan tulus mencintai negara kita.

“Sebagai contoh, ketika fasa kritikal PKP, apabila negara difitnah mengenai isu pekerja asing tanpa izin, kita dapat lihat bagaimana rakyat membela negara, kerana semua yang diceritakan itu adalah fitnah dan tidak benar, dari situ kita dapat lihat semangat patriotisme dalam diri rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual untuk siaran khas ‘Rukun Negara Hour’ anjuran KKMM menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara di Bernama TV dan Bernama Radio.

Siaran khas selama dua jam bermula 9 pagi tadi, diadakan bagi menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara dan memantapkan penghayatan falsafah negara dalam kalangan rakyat Malaysia, selain bagi meraikan Hari Malaysia yang disambut pada 16 Sept.

Menyentuh mengenai sambutan Hari Malaysia kali ini Suriani berkata, walaupun tiada sambutan besar-besaran, beliau menyeru supaya rakyat Malaysia, melakukan aktiviti yang boleh menterjemahkan semangat kemerdekaan dan dikongsi dalam media sosial.

Sambutan Hari Malaysia 2020 akan berlangsung di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak, malam ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here