PELABUHAN SUDAN, 17 Dis – Sudan mengisytiharkan darurat di wilayah Al-Qadarif selepas pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) menguasai jalan-jalan antara negeri-negeri timur Al-Jazirah dan Al-Qadarif berhampiran ibu negara Khartoum.

Gabenor wilayah yang terlibat dalam konflik dengan RSF sejak April berkata darurat diisytiharkan di bawah undang-undang mengenai kecemasan dan keselamatan awam, lapor Agensi Anadolu.

Sebarang pergerakan di jalan raya, demonstrasi dan operasi perniagaan di wilayah itu dilarang dari 6 petang hingga 6 pagi waktu tempatan sehingga diberitahu kelak.

Berikutan pertempuran sengit bermula pada 15 Dis antara tentera dan RSF di kawasan luar bandar Wad Madani, keadaan darurat diisytihar di negeri Al-Jazirah.

Buat kali pertama sejak konflik tercetus, RSF menyerang Wad Madani iaitu bandar strategik Al-Jazirah yang turut dikenali sebagai pembekal gandum Sudan.

Lebih 12,000 orang terbunuh manakala lebih 33,000 cedera setakat ini akibat konflik itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kira-kira 25 juta, iaitu separuh daripada penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan manakala tujuh juta rakyat hilang tempat tinggal atau melarikan diri ke negara jiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here