KUALA LUMPUR, 3 Jan — Pengeluar kereta nasional Proton mencapai pertumbuhan jualan lima tahun berturut-turut pada 2023 dengan jumlah jualan (domestik dan eksport) sebanyak 154,611 unit sekali gus sebagai prestasi jualan terbaiknya sejak 2012.

Syarikat berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah berkenaan menyumbang peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding 141,432 unit yang dijual pada 2022.

Pegangan pasaran keseluruhan Proton dijangka sebanyak 19.4 peratus berdasarkan jumlah volum industri yang dianggarkan sebanyak 794,948 unit pada tahun berkenaan, peningkatan 10.3 peratus berbanding 2022.

Menurut Proton, berikutan penjualan Disember mencapai 12,711 unit, syarikat turut mengakhiri 2023 di tempat kedua dari segi jualan keseluruhan, iaitu tahun kelima berturut-turut berupaya mengekalkan kedudukannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong dalam kenyataan sama berkata industri automotif sekali lagi mencatatkan rekod pada 2023 apabila jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3 peratus berbanding volum tertinggi sebelumnya yang dicapai dalam tempoh setahun sebelum itu.

“Faktor seperti pemenuhan pesanan untuk kereta bebas cukai sehingga akhir Mac mendorong peningkatan volum pada suku pertama tahun berkenaan, selain sebagai tahun yang aktif bagi pelancaran kereta dengan gangguan minimum disebabkan kekurangan alat ganti,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelancaran tiga model kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton iaitu Proton X50, Proton X70 dan Proton X90 telah menyumbang kepada jumlah jualan melebihi 200,000 unit sejak Disember 2018, selain peningkatan semula permintaan untuk model PIES (Persona, Iriz, Exora dan Saga) yang memacu pertumbuhan jualan pada 2023.

Proton Saga memulakan dan mengakhiri 2023 sebagai model Proton terlaris dengan mencatatkan jualan sebanyak 70,184 unit, prestasi terbaiknya sejak 2012 sekali gus tampil sebagai kenderaan keempat terlaris di Malaysia untuk 2023, katanya.

Proton berkata pertumbuhan volum yang luar biasa pada tahun berkenaan iaitu 25.6 peratus disumbangkan terutamanya oleh pembeli kereta kali pertama.

Peningkatan terbesar dalam rangkaian model Proton adalah Proton Persona.

Selepas mengalami kelewatan akibat kekurangan cip pada 2022, jualan bagi sedan segmen B itu melonjak semula sebanyak 48.9 peratus kepada 24,362 unit, meletakkan model itu pada kedudukan kedua dalam kelasnya.

Menurut Proton, kereta hatchback segmen B, Proton Iriz turut terjejas berikutan isu cip tahun lepas dan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 33.8 peratus kepada 7,639 unit pada 2023.

Proton Exora mengakhiri pengeluarannya dengan kenaikan jualan sebanyak 4.6 peratus iaitu 4,473 unit terjual sekali gus memperlihatkan permintaan dalam kalangan pembeli pasaran sasaran kekal kukuh, katanya.

Sehingga kini, lebih 194,000 unit telah terjual, menjadikannya sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C paling berjaya dalam sejarah automotif Malaysia.

Menurut kenyataan itu, Proton X50 terus mencatatkan penjualan yang kukuh sebanyak 31,829 unit terjual di Malaysia dan pasaran eksport pada 2023.

Bagi Proton S70, penghantaran model berkenaan kepada pelanggan akan bermula tahun ini dengan lebih 5,000 tempahan telah diterima sehingga kini yang dijangka menyumbang kepada jumlah jualan yang besar tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here