MELAKA, 17 Jan – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan melaksanakan beberapa perubahan penyuraian trafik bagi Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2024.

MBMB dalam kenyataannya hari ini memaklumkan Jalan Laksamana, sebahagian Jalan Tun Khalil Yaakob, Jalan Taman, Jalan Kota dan Jalan Istana akan ditutup selama 54 jam bermula 6 petang Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.

“Seterusnya bagi Jalan Banda Kaba, Lorong Chan Koon Cheng dan Jalan Chan Koon Cheng, jalan ini akan diubah hala bermula dari 6 petang Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad.

“Bagi Lorong Hang Jebat, ia juga diubah hala bermula dari 6 petang Jumaat hingga 12 tengah malam Ahad. Sebagai alternatif, kenderaan seterusnya dibenarkan untuk melalui Jambatan Tan Kim Seng untuk ke Jalan Tun Khalil Yaakob iaitu dari 1 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Bagi Jalan Kee Ann perubahan hala jalan itu dipendekkan jaraknya bermula dari persimpangan Jalan Kee Ann dan Bunga Raya, sehingga Simpang Jalan Kee Ann dan Jalan Baru.

Manakala Jalan Bukit Cina pula akan dikembalikan kepada asal dengan kenderaan boleh memasuki jalan tersebut dari Jalan Munshi Abdullah dan seterusnya tiba di Persimpangan Jalan Bukit Cina dan Jalan Temenggong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here