KUALA LUMPUR, 25 Sept — Tenaga Nasional Bhd (TNB) menerusi syarikat runcit tenaga boleh diperbaharuinya (RE), GSPARX Sdn Bhd memeterai perjanjian dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk pemasangan panel solar pada empat bangunan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Solar, MAB dijangka dapat menjimatkan kira-kira RM15 juta bil elektrik sepanjang tempoh 21 tahun kontrak melalui kepakaran GSPARX dalam pemasangan dan operasi panel solar bumbung.

TNB dalam kenyataan hari ini berkata, panel solar fotovoltaik (PV) yang akan dipasang mempunyai kapasiti 2.210 megawatt puncak (MWp) yang mampu menjana hampir 2.86 jam gigawatt (GWh) tenaga hijau setahun.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Kewangan MAB, Boo Hui Yee dan Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines, semalam.

Majlis itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group (MAG), Kapten Izham Ismail dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

TNB berkata projek itu merupakan pemasangan panel solar terbesar pada satu lokasi bagi GSPARX.

Projek itu akan memanfaatkan MAB dalam usaha jangka panjang mereka bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida.

Sebaik siap pada April 2021, tenaga hijau yang dijana daripada projek ini dijangka dapat mengimbangi pelepasan karbon dioksida kira-kira 2,022 tan metrik untuk tahun pertama atau pelepasan kira-kira 56,638 tan metrik sehingga 2050.

Menurut Amir Hamzah, ia bersamaan mengurangkan 12,197 kereta di jalan raya atau menanam sebanyak 933,520 pokok, kata Amir Hamzah.

Beliau berkata ketika banyak negara berdepan kesukaran akibat COVID-19, syarikat korporat seperti Malaysia Airlines dan TNB mengambil pendirian kukuh terhadap usaha menangani perubahan iklim, terutamanya dalam pengurangan pelepasan karbon.

“TNB mengambil pendirian teguh dengan aspirasi yang diperbaharui untuk menjadi penyedia penyelesaian tenaga lestari di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

“Sehingga kini, kami akan memacu perubahan ketara dalam portfolio penjanaan tenaga ke arah lebih banyak tenaga boleh diperbaharui dan ia jelas dizahirkan dengan bermulanya pengoperasian loji jana kuasa arang batu TNB yang terakhir di atas tapak baharu, Jimah East Power Plant di Negeri Sembilan,” katanya.

Amir Hamzah berkata TNB sedang giat memperkukuhkan portfolio RE di dalam dan luar negara dengan sasaran untuk mencapai 1,700 MW menjelang 2025 dan menyokong sasaran negara untuk mencapai penjanaan 20 peratus RE menjelang 2025.

Selain aset penjanaan berskala besar, TNB juga aktif menyokong pertumbuhan RE di peringkat penjanaan teragih melalui kerjasama seperti yang dilakukan dengan MAB bagi membolehkan pengguna menjadi pengeluar swaguna (prosumer).

Amir Hamzah menegaskan kerjasama dalam bidang RE yang dilaksanakan TNB turut menjadi teras kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi yang menjurus kepada pembentukan hab penghasilan solar di Malaysia.

“Ini selaras dengan enam fokus tumpuan TNB untuk membantu pemulihan ekonomi negara selepas kesan Perintah Kawalan Pergerakan dan COVID-19.

“Selain pembinaan hab solar global, fokus lain termasuk pelaburan untuk menaik taraf grid, kecekapan tenaga, menguasakan mobiliti, memperkasakan kesalinghubungan dan latihan semula,” katanya.

 Izham berkata perjanjian itu adalah satu lagi langkah penting dalam perjalanan mereka untuk menjadi syarikat penerbangan yang hijau dan mampan.

“Kelestarian merangkumi keseluruhan rantaian bekalan perniagaan dan kami percaya apa yang bermanfaat kepada alam sekitar akan memberi kesan positif terhadap kewangan syarikat.

“Malaysia Airlines dan anak-anak syarikat lain yang bernaung di bawah MAG telah memperkenalkan lebih 40 inisiatif untuk mengurangkan jejak karbon sepanjang tiga tahun lepas – termasuk penggunaan teknologi kapal terbang terkini (dengan kapal terbang A350-900), menaik taraf proses operasi, penggunaan bahan api yang mampan dan berusaha mencapai sasaran yang menjadi sebahagian daripada program Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA),” katanya.

Izham berkata kejayaan penting ini membuktikan langkah ke hadapan MAG dalam usaha jangka panjangnya untuk memainkan peranan lebih penting dalam usaha kelestarian alam sekitar di Malaysia dan industri penerbangan, seperti dibuktikan menerusi kerjasama dengan GSPARX, kata Izham.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here