KUCHING, 1 Feb – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) akan meningkatkan kekerapan penerbangannya dari negara itu ke laluan Kuching kepada empat kali seminggu mulai 5 April dengan beroperasi pada Selasa, Khamis, Jumaat dan Ahad.

Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, RBA dan Kementerian Pengangkutan Sarawak memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan jumlah purata penumpang ke Bumi Kenyalang pada 2022 serta tahun lepas adalah melebihi 65 peratus.

“Bagi musim perayaan akan datang, tiket sedang dijual dan jika terdapat permintaan, RBA akan menaik taraf perkhidmatan dengan menggunakan pesawat Boeing 787 Dreamliner yang lebih besar atau menambah jumlah penerbangan,” menurut kenyataan itu sambil menambah ketika ini, penerbangan bagi laluan Brunei-Kuching menggunakan pesawat A320.

Ketua Pegawai Eksekutif RBA Kapten Sabirin Abdul Hamid berkata syarikat penerbangan itu membawa lebih 9,000 penumpang ke Kuching pada tahun lepas.

Beliau berkata mereka adalah penumpang yang transit melalui Brunei dan dari 20 destinasi RBA.

“Laluan Kuching melalui Brunei mempunyai 11 hingga 13 sambungan secara mingguan untuk ke destinasi antarabangsa lain seperti Bangkok, Dubai, Beijing, Hong Kong, Seoul, Jeddah, Melbourne, Manila, Tokyo, Ho Chi Minh, Surabaya dan Taipei.

“Kekerapan tambahan penerbangan ke Kuching juga memperkenal sambungan dua hala bagi peluang Umrah dan bertujuan membangunkan pasaran Korea untuk melancong ke Kuching dengan mempromosikan produk riadah serta golf baharu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata kempen pemasaran dan jerayawara Lembaga Pelancongan Sarawak harus terus mempromosikan negeri itu melalui Brunei.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here