PUTRAJAYA, 21 Feb – Syarikat penerbangan Batik Air dan Jiangsu Topview Cultural Tourism Industry Development Co. Ltd. (Jiangsu Topview) dari China hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluaskan penerbangan sewaan bagi laluan China.

Ia membabitkan empat laluan iaitu dari Nanning ke Kuala Lumpur, Shanghai ke Tawau, Chengdu ke Tawau, dan Shenzhen ke Tawau.

Tourism Malaysia dalam kenyataan berkata MoU itu akan meluaskan lagi perkhidmatan penerbangan sewa sedia ada yang diusahakan oleh Jiangsu Topview, yang telah bermula pada 23 Januari lepas dan akan berterusan sehingga penghujung Mac 2024 bagi memenuhi keperluan penerbangan pada musim cuti Tahun Baru Cina dan perayaan musim bunga.

“Disebabkan sambutan yang memberangsangkan terhadap perkhidmatan penerbangan sewaan itu, Jiangsu Topview telah memutuskan untuk meneroka pengembangan laluan tambahan bersama Batik Air,” menurut kenyataan itu.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy, dan Pengurus Besar Pusat Penerbangan dan Pelancongan Jiangsu Topview Rose Wan, dengan disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Sementara itu, Tiong berkata kerjasama strategik antara Jiangsu Topview dan Batik Air menandakan ikatan yang semakin kukuh antara dua negara, membuka jalan untuk kedatangan pelancong China yang lebih ramai ke Malaysia.

“Kerjasama ini juga selaras dengan usaha kita untuk mengukuhkan hubungan pelancongan dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelancong China,” katanya.

Pada tahun 2023, Malaysia menerima kehadiran 1.47 juta pelancong dari China, pertumbuhan yang berlipat ganda, menjangkau sehingga 593.4 peratus, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2022 dengan kehadiran 212,603 pelancong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here