KUCHING, 14 Mei – Integrasi hidrogen sebagai sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui bagi memperkasa projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) menjadi satu daripada inisiatif utama dalam transformasi sektor pengangkutan Sarawak.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata mengintegrasikan kenderaan berkuasa hidrogen dalam KUTS merupakan langkah ke hadapan ke arah menggalakkan mobiliti mampan di pusat bandar.

“Selain hidrogen, kita juga sedang meneroka penyelesaian inovasi lain untuk menjadikan sektor pengangkutan kita lebih mampan,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif seperti menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik, menambah baik infrastruktur pengangkutan awam dan melaksanakan penyelesaian mobiliti pintar adalah antara strategi komprehensif pihaknya.

“Kementerian saya juga sedang meneroka inisiatif untuk sektor pengangkutan sungai turut beralih kepada kapal tenaga hijau dengan mengambil kira sistem pacuan berkuasa hidrogen atau elektrik,” katanya.

Lee berkata Sarawak telah menyumbang kepada pencapaian Malaysia yang diiktiraf sebagai peneraju dalam peralihan tenaga di Asia Tenggara menurut Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia

“Sarawak memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada inisiatif ini dan menerajui dalam memanfaatkan potensi hidrogen sebagai sumber tenaga bersih dan boleh diperbaharui. Penting bagi kita untuk mengenengahkan peranan besar sektor pengangkutan dalam usaha ini,” katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here