PUTRAJAYA, 18 Mei – Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) bakal menaja 1,000 tempat bagi melatih pemandu lori untuk mendapatkan lesen kelas E dan lesen kenderaan barangan (GDL).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu merupakan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk membolehkan lebih ramai individu dilatih menjadi pemandu lori dan mendapat pulangan gaji lebih tinggi.

“HRD Corp akan menaja 1,000 tempat untuk melatih dan memberikan lesen E dan GDL kepada pemohon baharu. Mereka yang layak akan dilatih dan menjalani ujian dengan kos RM2,000 hingga RM3,000 akan ditaja sepenuhnya oleh HRD Corp.

“Kerajaan komited melatih pemandu-pemandu haulier (pengangkut) yang baharu dan ini sesuatu yang sedang kita laksanakan dengan harapan akan ada minat daripada orang muda,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini hari ini.

Pada 9 Mei lepas, Loke berkata terdapat  perancangan untuk bekerjasama dengan HRD Corp bagi menangani masalah kekurangan pemandu profesional dalam industri pengangkutan kerana boleh memberi impak besar kepada industri.

Lesen E melibatkan motokar berat tanpa muatan melebihi 7,500 kilogram manakala lesen GDL adalah untuk memandu mana-mana kenderaan berdaftar komersial yang digunakan untuk mengangkut barangan seperti lori, van dan kenderaan lain.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata MOT juga bakal melaksanakan satu inisiatif baharu iaitu membenarkan kenderaan penggerak utama (prime mover) elektrik (EV) untuk berada di atas jalan raya dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pada ketika ini MOT telah menerima permohonan dari beberapa buah syarikat yang ingin menjalin kerjasama menerusi inisiatif berkenaan.

“Mereka hendak jalankan (inisiatif) prime mover EV ini dan MOT akan benarkan. Kita akan lancar tidak lama lagi supaya syarikat-syarikat logistik ini dapat adaptasi ke arah penggunaan prime mover EV ini,” katanya.

Pada mesyuarat itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut membentangkan mengenai prospek peralihan tenaga boleh baharu yang boleh memberi impak positif kepada industri logistik.

“Kita juga mengalu-alukan syarikat industri logistik ini seperti gudang-gudang untuk memasang panel solar supaya mereka juga boleh menggunakan tenaga boleh baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here