NEW DELHI, 8 Julai – Negeri Assam di India dilanda banjir teruk dengan puluhan ribu orang terpaksa tinggal di pusat pemindahan sementara.

Hujan monsun pada Isnin juga menjejaskan kehidupan harian penduduk di hab kewangan negara itu, Mumbai.

Banjir telah menjejaskan kira-kira 2.3 juta orang di 28 daripada 35 daerah di Assam dan mengorbankan puluhan orang serta lebih 100 haiwan di Taman Negara Kaziranga yang terkenal dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Kira-kira 53,000 orang tinggal di 269 kem bantuan di seluruh negeri di timur laut itu kerana sungai-sungai, termasuk Sungai Brahmaputra yang merentasi sempadan dan mengalir sejauh 1,280 km di negeri Assam, melimpah pada musim monsun.

Hujan lebat mencetuskan beberapa tanah runtuh di negeri Arunachal Pradesh di timur laut yang bersempadan dengan China.

Banjir, tanah runtuh dan kerosakan pada jalan raya serta jambatan telah dilaporkan di banyak tempat, termasuk negeri-negeri utara Uttarakhand dan Himachal Pradesh.

Mumbai mencatatkan lebih 300 mm hujan di beberapa tempat dalam tempoh enam jam sehingga 7 pagi Isnin, kata pihak berkuasa tempatan.

Ini menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan menjejaskan perkhidmatan kereta api pinggir bandar.

Beberapa sekolah dan kolej juga ditutup manakala Universiti Mumbai membatalkan peperiksaan yang dijadualkan pada Isnin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here