BATU KURAU, 1 Okt — Perak dipilih sebagai satu daripada negeri untuk tapak pelaksanaan 5G mulai bulan ini, kata Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Beliau berkata, sebuah syarikat pelaburan akan menanam modal bagi membangunkan infrastruktur 5G yang melibatkan kawasan industri automotif di Tanjung Malim.

“Satu kajian akan dibuat pada suku pertama tahun hadapan untuk mendapatkan laporan mengenai kesan penyediaan 5G sebelum ia dikembangkan ke kawasan lain di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Pencegahan Dadah di Sekolah Kebangsaan Gudang dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak semalam bahawa lapan syarikat menyatakan komitmen untuk membuat pelaburan awal bernilai RM116 juta bagi projek demonstrasi 5G bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020.

Katanya, syarikat itu ialah Altel Communications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, DiGi.Com Bhd, edotco Group Sdn Bhd, Maxis Bhd, Petronas, Telekom Malaysia Bhd dan UMobile Sdn Bhd.

Hasnul Zulkarnain berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan syarikat berkenaan minggu hadapan bagi membincangkan kerjasama dalam memastikan limpahan pembangunan dan merancakkan ekonomi di kawasan persekitaran yang bakal menerima liputan 5G.

Dalam pada itu, Hasnul Zulkarnain, yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), meminta ibu bapa supaya mengawasi anak mereka bagi mengelak terjebak dengan dadah.

“Sikap tidak peduli dan tidak mengambil berat anak di sekeliling menjadi punca merebaknya penagihan dadah,” katanya sambil menyelar ibu bapa yang tidak melaporkan kes dadah membabitkan ahli keluarga.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here