KUALA LUMPUR, 23 Julai – Moratorium atau pembekuan ke atas penawaran kursus pengajian baharu kejururawatan peringkat diploma di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) sejak 2010 akan ditamatkan mulai 1 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata keputusan penamatan itu dibuat oleh Jemaah Menteri pada 5 Julai lepas berikutan beberapa siri perbincangan antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan Kementerian Kesihatan mengenai kekurangan jururawat berdaftar di negara ini.

Beliau berkata penamatan moratorium itu bagi mengatasi kekurangan jururawat yang dipengaruhi beberapa faktor antaranya penurunan jumlah IPTS aktif menawarkan kursus berkenaan di peringkat diploma.

“Penamatan moratarium juga dipengaruhi penurunan pendaftaran jururawat berdaftar dalam kalangan lepasan diploma kejurutawatan IPTS.

“Negara bakal mengalami kekurangan jururawat berdaftar bagi keperluan jagaan kesihatan dan keperluan populasi pada 2030 sekiranya trend pengambilan pelajar diploma kejurutawan di IPTS dan bilangan pendaftaran jururawat berdaftar kekal menurun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Mustapha menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu strategi KPT dalam menangani masalah kekurangan jururawat yang kronik serta sama ada akan membenarkan lebih banyak IPTS untuk menawarkan kursus kejururawatan.  

Mustapha berkata perincian penamatan moratorium itu akan dimaklumkan oleh KPT melalui satu surat pekeliling yang akan dikeluarkan kepada semua IPTS dalam masa terdekat.

Katanya moratorium itu dilaksanakan sebelum ini kerana berlaku lambakan penawaran kursus pengajian kejururawatan di IPTS.

“Setelah kajian dibuat dan kalau kita tidak buat sesuatu buat masa ini,  kita akan alami defisit lebih kurang 62 peratus menjelang 2030, sebab itu, ini antara langkah yang kerajaan buat dan kita akan pastikan jumlah jururawat memenuhi keperluan industri dan populasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here