SINGAPURA, 13 Ogos – Penunggang motosikal yang tiba atau berlepas dari Singapura melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas boleh menggunakan kod QR yang dijana daripada aplikasi mudah alih MyICA sebagai ganti pasport mulai Khamis.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memaklumkan ia adalah sebahagian daripada inisiatif untuk memudahkan proses imigresen tanpa pasport di bawah Konsep Pelepasan Baru yang sebelum ini terhad kepada pengembara menggunakan kereta dan pemandu bas.

“Penunggang motosikal dan pembonceng hanya perlu mengemukakan satu kod QR untuk pelepasan imigresen berbanding mengimbas dua pasport, sekali gus mengurangkan masa untuk proses imigresen,” menurut ICA dalam satu kenyataan pada Selasa.

ICA juga mempertingkatkan Sistem Pengenalan Biometrik Bagi Penunggang Motosikal (BIKES) bagi meningkatkan kecekapan pelepasan di pusat pemeriksaan darat.

“Sistem BIKES ditambah dengan pelepasan kod QR akan mengurangkan proses pelepasan imigresen bagi penunggang dan pembonceng motosikal sekitar 30 peratus,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, pelawat asing buat kali pertama dan warga asing yang memasuki semula Singapura menggunakan pasport berbeza dari lawatan sebelum ini perlu mengemukakan pasport mereka untuk pelepasan imigresen.

Pelawat juga masih perlu membawa pasport mereka kerana ICA mungkin masih memerlukannya untuk pengesahan.

Inisiatif pelepasan kod QR akan dilanjutkan kepada pemandu kenderaan kargo dan kelindan pada 30 Ogos, dan kepada penumpang bas menjelang Disember 2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here