KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Dalam usaha kemanusiaan yang penting, Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menghantar lebih 40,000 tan bekalan penting ke Semenanjung Gaza, menggunakan kapal, trak, penerbangan dan menggugurkan bantuan melalui udara untuk menangani keperluan mendesak di tengah-tengah keadaan krisis yang berterusan.

Bantuan itu telah diangkut melalui pelbagai saluran, termasuk lapan kapal bantuan, 1,271 trak dan 414 penerbangan termasuk menggugurkan 104 bantuan dari udara, menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Strategik UAE dan dikongsi Kedutaan UAE di Kuala Lumpur.

“Inisiatif UAE, dan operasi ‘Gallant Knight 3’ yang komprehensif, terus memberikan sokongan kemanusiaan dan bantuan kepada Semenanjung Gaza,” katanya.

Inisiatif “Gallant Knight 3” ialah operasi kemanusiaan yang bertujuan untuk menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Diketuai oleh Komando Operasi Bersama Kementerian Pertahanan, ia bekerjasama rapat dengan Bulan Sabit Merah Emirates, Yayasan Khalifa bin Zayed Al Nahyan, Yayasan Amal & Kemanusiaan Zayed dan institusi UAE yang lain untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan penting kepada mereka yang terjejas oleh konflik yang berterusan.

UAE dengan kerjasama Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), Amerika Syarikat, Cyprus, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan beberapa penderma antarabangsa, menghantar 2,176 tan bekalan makanan melalui laut ke Semenanjung Gaza, dengan kerjasama Bantuan Pelarian Timur Dekat Amerika (Anera).

Selain itu, UAE dan World Central Kitchen berjaya menghantar 300 tan bantuan makanan ke Gaza melalui Koridor Maritim dan mengagihkan bantuan di utara Gaza.

Sementara itu, UAE telah menubuhkan enam loji penyahgaraman dengan kapasiti gabungan 1.2 juta gelen sehari, memberikan sokongan penting kepada Semenanjung Gaza dan memberi manfaat kepada lebih 600,000 orang setiap hari untuk menangani krisis air yang berterusan.

Untuk memastikan bekalan roti yang stabil, makanan ruji di rantau ini, UAE telah mengerahkan lima kedai roti automatik untuk memenuhi keperluan harian lebih 72,000 orang. Selain itu, UAE membekalkan tepung kepada lapan kedai roti sedia ada di Gaza untuk menyokong keperluan harian 17,140 orang.

Untuk menyokong keperluan penjagaan kesihatan penduduk Gaza, dua hospital telah ditubuhkan mengikut arahan Presidennya Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Sebuah hospital medan di selatan Semenanjung Gaza, dengan kapasiti 200 katil, diselia oleh pasukan perubatan Emiriah dan dikendalikan lebih 100 doktor, jururawat, ahli farmasi dan juruteknik makmal.

Untuk terus menyokong hospital medan itu, UAE melancarkan hospital terapung 100 katil yang berlabuh di Pelabuhan Al-Arish pada 26 Februari 2024. Hospital terapung itu menyediakan perkhidmatan perubatan kepada 4,201 kes, mengukuhkan infrastruktur penjagaan kesihatan yang tersedia untuk penduduk Gaza.

UAE juga telah melaksanakan Sistem Kebangsaan Komprehensif (R100), yang bertujuan untuk menyediakan rawatan perubatan untuk 1,000 pesakit kanser Palestin dan 1,000 kanak-kanak yang sakit dari Semenanjung Gaza.

Sementara itu, UAE telah memperuntukkan sumber kewangan yang besar untuk menyokong Gaza, termasuk US$20 juta kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat, US$15 juta kepada Dana Amalthea untuk inisiatif Koridor Maritim antara Cyprus dan Semenanjung Gaza, US$11.7 juta kepada Program Makanan Sedunia (WFP) untuk bantuan makanan dan US$10 juta untuk menyokong sektor kesihatan di Gaza, dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here