KOTA KINABALU, 28 Sept – Input daripada Sabah diharap dapat diambil kira menerusi kerjasama dengan Kementerian Ekonomi bagi memastikan negeri itu tidak tertinggal dalam inisiatif  pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata sehubungan itu kerajaan negeri melalui kementerian, jabatan dan agensi negeri Sabah yang berkaitan akan memberikan kerjasama sepenuhnya memberikan input yang diperlukan dalam pelaksanaan inisiatif CCUS.

Katanya kerajaan negeri mengambil maklum Draf Rang Undang-Undang (RUU) CCUS sedang digubal di peringkat kerajaan Persekutuan, dan percaya semua pihak berkepentingan dilibatkan dalam menyediakan RUU yang komprehensif itu.

“Inisiatif CCUS adalah selamat, diperlukan untuk membantu Malaysia mencapai Aspirasi Bersih Sifar pada tahun 2050. CCUS mengurangkan impak perubahan iklim, pengurusan risiko CCUS melalui penggubalan perundangan dan peraturan yang komprehensif dan pengawalseliaan aktiviti berkesan.

“CCUS membantu sektor yang sukar untuk disahkarbonkan di negara ini dalam menangani pelepasan gas karbon dioksida dan mengurangkan kos penyahkarbonan. Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi hab serantau CCUS, yang seterusnya dapat mendorong pertumbuhan CCUS serta meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Sabah Mengenai Pelaksanaan Inisiatif CCUS di Malaysia di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji pada mesyuarat itu diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan, dan Industri Makanan negeri. Turut hadir adalah Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi negeri Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif, serta Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here