KUALA LUMPUR, 1 Okt – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited dan sentiasa mengambil pelbagai inisiatif dalam memastikan warga emas di Malaysia meniti usia dengan bermaruah.

Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia selaras dengan Dasar Warga Emas Negara iaitu mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan warga emas serta semua pihak yang turut sama terlibat dalam menyediakan perkhidmatan kepada warga emas dari aspek penjagaan dan apa jua bentuk sokongan demi mengangkat maruah warga emas.

“Begitu juga kepada anak-anak yang menjaga ibu bapa warga emas sama ada yang masih sihat atau yang sedang uzur, anda juga merupakan sebahagian daripada sistem sokongan sosial yang amat penting,” katanya dalam klip video yang dikongsikan menerusi Facebook KPWKM sempena Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2024 hari ini.

Hari Warga Emas disambut pada 1 Okt setiap tahun bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan warga emas ke arah pembangunan negara dan bangsa dengan tema tahun ini adalah ‘Penuaan Bermaruah: Memperkukuh Sistem Penjagaan dan Sokongan Warga Emas’.

Nancy berkata semua pihak harus menyantuni dan memberikan kehidupan selesa kepada warga emas  atas jasa dan peranan penting yang telah ditabur sepanjang usia mereka.

Beliau berkata berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, peratus warga emas bagi suku tahun kedua 2024 adalah 11.6 peratus atau 3.9 juta orang daripada jumlah penduduk Malaysia.

“Dari segi jangka hayat penduduk pula, Malaysia mencatatkan peningkatan jangka hayat kepada 74.8 tahun pada 2023 berbanding 63.6 tahun pada 1970. Peningkatan jangka hayat ini merupakan petunjuk jelas bahawa negara kita akan berhadapan dengan penuaan penduduk menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dalam hantaran menerusi Facebook berkata warga emas adalah aset yang berharga kepada negara kerana pengalaman hidup mereka merupakan suatu hikmah dan pelajaran kepada generasi muda hari ini.

“Mereka telah melalui pelbagai cabaran hidup, perubahan sosial, kemajuan teknologi dan ekonomi, menjadikan mereka adalah guru yang tak ternilai bagi generasi muda hari ini.

“Justeru, warga emas perlu diberi perhatian khusus dari segi penjagaan dan sokongan, baik secara fizikal mahupun emosi, agar mereka merasa dihargai dan dapat menjalani kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya yang turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Warga Emas 2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here