ANKARA, 11 Okt – China dan ASEAN pada Khamis bersetuju untuk terus memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara kedua-dua pihak.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa persetujuan itu dicapai semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27, diadakan sempena sidang kemuncak blok berkenaan yang sedang berlangsung di ibu negara Laos, Vientiane, yang dihadiri Perdana Menteri China, Li Qiang dan pemimpin serantau.

“(Semasa pertemuan itu) Para Pemimpin meneliti kemajuan kerjasama ASEAN-China dan membincangkan arah tujuannya pada masa hadapan, khususnya dalam memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China,” kata kenyataan ringkas oleh ASEAN yang disiarkan di X.

Kedua-dua pihak juga membincangkan cara untuk memperdalam kerjasama dalam pertukaran antara rakyat.

Para pemimpin turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan serta keprihatinan bersama, menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Li tiba di Vientiane pada Rabu untuk menghadiri mesyuarat mengenai kerjasama Asia Timur dan mengadakan lawatan rasmi ke Laos.

Rantau ASEAN menempatkan lebih daripada 700 juta orang, meliputi kawasan seluas 4.5 juta kilometer persegi dan mencatatkan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$3.62 trilion pada tahun 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here