KUALA LUMPUR, 16 Okt – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk meningkatkan bantuan geran penanaman semula sawit bagi merancakkan semula produktiviti dalam kalangan pekebun kecil.

Menteri berkenaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata penanaman semula sawit melibatkan kumpulan ini sangat rendah iaitu 0.2 peratus, jauh di bawah piawaian sebanyak empat peratus yang sepatutnya dilaksanakan setiap tahun.

Pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pekebun kecil juga tidak melaksanakan program penanaman semula secara sistematik.

Katanya kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk program penanaman semula bagi 2024, dengan menyediakan 50 peratus geran kepada pekebun kecil manakala baki 50 peratus perlu dipinjam melalui Agrobank.

“Jadi, dalam konteks ini, bagi permohonan geran, saya akan berbincang dengan MOF bukan sahaja untuk meningkatkan bantuan geran, malah untuk mempermudah proses supaya pekebun kecil dapat meningkatkan pengeluaran mereka.

“Ini kerana, di negara kita, kita pernah mengeluarkan lebih daripada 20 juta tan metrik sawit, tetapi hari ini pengeluaran kita telah merosot kepada 18.6 juta tan metrik,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai sama ada kerajaan akan meningkatkan pembiayaan Skim Tanaman Semula Sawit bagi pekebun kecil pada 2025 dan mengembalikannya kepada 100 peratus geran penuh berbanding 50 peratus geran dan 50 peratus pinjaman sekarang.

Johari berkata, bagi menggalakkan penanaman semula, usaha kerajaan tidak hanya tertumpu kepada pekebun kecil. 

“Pekebun yang tidak termasuk dalam kategori pekebun kecil juga layak menerima pelbagai insentif seperti elaun pelaburan,” katanya.

Johari turut menjawab pertanyaan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan memberi bantuan kepada syarikat perladangan kecil dan sederhana yang menanggung kos tinggi akibat pokok tua, serta usaha meningkatkan produktiviti sawit dan kursus latihan bagi pekebun kecil.

Menurutnya kerajaan turut menggalakkan pekebun besar yang memiliki benih berkualiti tinggi untuk berkongsi benih dengan pekebun kecil dan ladang berskala kecil sebelum dieksport.

“Terdapat banyak lagi aspek amalan pertanian baik yang kita galakkan kepada ladang-ladang untuk menggunakan standard penanaman, bahan yang berkualiti dan baja berkualiti,” katanya.

Beliau berkata inisiatif ini akan dibimbing oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi memastikan pengeluaran ladang sentiasa terjaga dan berkembang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here