SIK, 19 Okt — Seorang suri rumah di Kampung Gulau dekat sini berdepan detik mendebarkan apabila seekor harimau dahan menceroboh masuk ke dalam reban ayamnya dalam kejadian pada pukul 5.50 pagi tadi.
Habsah Paih, 54, yang merupakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sik berkata beliau terdengar bunyi bising di luar rumah dan menyangka mungkin ada haiwan yang masuk ke dalam reban ayam yang terletak kira-kira 70 meter dari rumahnya itu.
“Masa tu saya fikir sama ada ular sawa atau harimau, sebab saya pernah nampak kesan tapak kaki pada pokok berhampiran rumah. Bila nampak harimau kami terus telefon 999,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Beliau berkata sementara menunggu ketibaan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), suaminya bertindak menutup lubang kecil di reban ayam itu bagi mengelak harimau dahan itu daripada melarikan diri.
“Ada kira-kira 15 ekor ayam dalam reban, sembilan mati digigit, ada beberapa yang cedera dan terselamat. Sebelum ini kami bela lebih kurang 20 ekor itik namun hilang seekor demi seekor tanpa jejak,” katanya.
Habsah berkata reban ayam sama sudah enam kali dimasuki ular sawa tahun lepas dan ini merupakan serangan kali pertama membabitkan harimau dahan, walaupun sebelum ini kesan tapak kaki haiwan itu pernah dikesan sekitar kawasan reban.
Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Lt (Pertahanan Awam) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung harimau dahan itu pada pukul 6.55 pagi.
“Anggota bergegas ke lokasi dan mengambil masa 15 minit untuk menjerut haiwan itu. Ia kemudian dibawa pulang ke pejabat APM sebelum diserahkan kepada Perhilitan,” katanya.