KUANTAN, 20 Okt – Tempoh memproses pensijilan halal dipendekkan kepada 15 hari bekerja berbanding 23 hari sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penambahbaikan itu bertujuan merancakkan industri halal negara berikutan sebelum ini, tempoh permohonan sijil halal mengambil masa agak lama hingga sembilan bulan.
“Dulu sembilan bulan, kita kurangkan enam bulan (kemudian) kurangkan pada tiga bulan. Daripada tiga bulan, saya minta 23 hari dan itu kita telah capai. (Sekarang) kita kurangkan kepada 15 hari.
“Ini telah berjalan dan setakat ini, kami berpuas hati dengan apa yang sedang berjalan. Kolaborasi antara JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dengan pelbagai pihak seperti HDC (Halal Development Corporation Bhd) dengan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) dan akademi halal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Halal On Track (HOT) @ Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Pahang Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail.