MANILA, 23 Okt – Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Selasa meluluskan pinjaman sebanyak US$241.3 juta untuk meningkatkan agihan bekalan tenaga elektrik di West Bengal, India.
Program Pengukuhan Sistem Agihan di West Bengal ini dijangka meningkatkan agihan elektrik kepada 8.96 juta pengguna di tujuh daerah.
ADB menyatakan program itu antara lain membangunkan sistem maklumat dan pengurusan operasi yang terintegrasi bagi memantau kualiti bekalan, prestasi dan pengurusan kewangan korporat.
Program ini juga akan meningkatkan kecekapan operasi Syarikat Agihan Elektrik Negeri West Bengal dengan membina keupayaan dalam pengurusan aset dan kewangan, memperkenalkan tenaga boleh diperbaharui, rasionalisasi tarif serta mempromosikan kesaksamaan jantina dan rangkuman sosial.
ADB turut memaklumkan bahawa program itu akan menyumbang kepada kesedaran komuniti, terutamanya dalam aspek keselamatan elektrik serta melatih kakitangan teknikal dan kejuruteraan daerah mengenai keselamatan.