KUALA LUMPUR, 24 Okt – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang dalam proses memuktamadkan garis panduan pembangunan mampan bagi pusat data.
Sehubungan itu, Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MITI telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pelbagai agensi kerajaan dan pemain industri pusat data di Malaysia bagi membangunkan garis panduan berkenaan.
Beliau berkata ini antara lainnya merangkumi metrik Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) bagi mengukur kecekapan penggunaan tenaga dan air.
“Selain itu, bagi memastikan pembangunan pusat data yang mampan secara menyeluruh, garis panduan ini turut menetapkan metrik bagi Keberkesanan Penggunaan Karbon (CUE) untuk mengukur pelepasan karbon oleh pusat data.
“Garis panduan berkenaan sedang dimuktamadkan dan akan dijadikan antara syarat bagi permohonan insentif untuk pelaburan pusat data kelak,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PAS-Bachok) mengenai status terkini pembangunan garis panduan penggunaan tenaga dan air di pusat-pusat data sebagai langkah memastikan kemudahan itu di Malaysia menyokong sasaran pelepasan karbon bersih sifar menjelang 2050.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata kerajaan turut menggalakkan pelaksanaan dasar teknologi hijau dan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dalam operasi pusat data bagi mencapai sasaran 70 peratus TBB menjelang 2050 yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Selain itu, program skim pembekalan tenaga boleh baharu korporat (CRESS) juga dilaksanakan bagi memudahkan akses operator pusat data kepada sumber TBB yang dijana oleh pihak ketiga.
“CRESS akan memudah cara dan membolehkan lebih banyak pusat data memanfaatkan TBB dan menjadikan kos operasi pusat data lebih kompetitif dalam jangka panjang,” katanya.