SHAH ALAM, 4 Okt — Top Glove Corporation Bhd menyifatkan tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan larangan import sarung tangan getah daripada sebuah syarikat Malaysia berhubung dakwaan menggunakan buruh paksa merupakan satu peringatan kepada perniagaan tempatan.

Sambil mengakui larangan itu akan mencemarkan imej baik syarikat pengeluar sarung tangan Malaysia, Pengerusi Top Glove Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata AS telah menghantar isyarat betul kepada perniagaan global.

“Ini merupakan isyarat kepada semua kilang atau perniagaan. Jika kita mahu menjalankan perniagaan dengan negara lain seperti AS atau (di) Eropah, kita perlu patuhi peraturan antrabangsa dan memperbaiki diri sendiri.

“Dan ini merupakan hala tuju betul dan peringatan kepada kilang atau syarikat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai keputusan FY19 dan Q4 2019 di sini, hari ini.

AS baru-baru ini mengenakan sekatan terhadap import sarung tangan getah pakai buang daripada sebuah syarikat Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn Bhd, kerana didakwa menggunakan buruh paksa dalam pembuatan produk itu.

Ditanya jika larangan itu akan menjejaskan jualan Top Glove ke AS, Lim berkata: “Setakat ini baik. Sudah tentau, dari semasa ke semasa, kami mungkin berdepan masalah, tetapi mereka (AS) telah menghantar isyarat dan hala tuju betul dan kami akan berusaha memenuhinya.

Jualan Top Glove ke Amerika Utara melonjak 20.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos, 2019 (FY19), manakala ke Eropah Barat meningkat 12.7 peratus y-o-y dan ke Jepun meningkat 24.0 peratus y-o-y.

Mengenai harapan terhadap Belanjawan 2020, Lim berharap kerajaan akan menyediakan lebih banyak elaun pelaburan semula bagi membolehkan kilang berkembang lebih maju.

Beliau juga berharap kerajaan akan membelanjakan lebih banyak wang bagi penyelidikan dan pembangunan, automasi, dan perindustrian untuk membolehkan pengilang memanfaatkan Revolusi 4.0.

“Kita perlukan kerajaan yang bijak untuk merumuskan belanjawan bijak,” katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan di Parlimen pada 11 Okt, 2019.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here