KUALA LUMPUR, 28 Okt – Kerajaan mengutamakan usaha menangani buli siber dan ucapan kebencian dalam sukan, dengan fokus kepada usaha bagi mengukuhkan rangka kerja undang-undang dan meningkatkan kesedaran orang ramai, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Kementerian Belia dan Sukan yang diterajui Hannah Yeoh telah bekerjasama dengan agensi-agensi lain untuk menangani isu gangguan, penderaan dan ucapan kebencian dalam sukan, berikutan lonjakan gangguan dalam talian yang dilaporkan semasa berlangsung temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris baru-baru ini.

“Terdapat keperluan untuk menangani buli siber dari akar umbinya dengan melaksanakan program pendidikan di sekolah-sekolah dan arena sukan.

“Program ini akan membantu menyedarkan orang ramai mengenai kesan serius buli siber terhadap kesihatan mental dan semangat kesukanan,” katanya kepada pemberita semasa hadir di Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah (9S) dan Bola Jaring Antara Media sempena Sukan Hawana di Padang Brainy Bunch Melawati di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak sembilan sebelah bersama pasukan Bernama C, dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama Nasriah Darus.

Fahmi berkata inisiatif itu, khususnya melalui program kesedaran yang menyasarkan sekolah dan acara sukan, bertujuan mendidik masyarakat mengenai kesan buli siber terhadap atlet, peminat dan penyokong.

Beliau berkata selain itu kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk meminda Kanun Prosedur Jenayah dan Kanun Keseksaan untuk mentakrifkan buli siber dan bentuk gangguan lain secara lebih terperinci.

“Kita harap pindaan akan diluluskan dalam persidangan parlimen semasa,” katanya sambil menambah bahawa ia mungkin mengambil masa untuk orang ramai memahami cara undang-undang ini dikuatkuasakan.

Fahmi berkata langkah konkrit perlu dilaksanakan bagi memastikan agensi berkaitan dapat bertindak balas secara berkesan terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan media dalam talian.

“Sebaik sahaja undang-undang ini dikuatkuasakan, diiringi dengan program-program kesedaran, kita percaya ia akan membantu mengurangkan kemungkinan kejadian pelanggaran undang-undang berkaitan media dalam talian ini,” tambahnya.

HAWANA yang pertama kali disambut 11 April 2018, dikelolakan Bernama selaku agensi pelaksana acara tahunan, bertujuan meraikan jasa dan pengorbanan komuniti media serta mengangkat martabat profesionalisme kewartawanan negara selain menjadi platform untuk mereka berkumpul dan membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi industri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here