JAKARTA, 29 Okt – Kementerian Perindustrian Indonesia melancarkan beberapa aplikasi seperti Ekosistem Batik dan Kraftangan, Syndi-Synthetical Dyes Idexation, dan Motif Batik Digital untuk membantu memelihara dan memperkukuh industri kraftangan batik tempatan.

Ketua Badan Penilai dan Perkhidmatan Industri kementerian, Andi Rizaldi menjelaskan bahawa aplikasi-aplikasi ini dicipta untuk mengekalkan identiti negara, memandangkan kain batik telah menjadi sebahagian daripada sejarah Indonesia dan menyumbang kepada kemajuan ekonominya.

“Batik telah menjadi subsektor industri yang semakin diakui di arena antarabangsa, di mana eksport batik negara mencapai US$17.5 juta pada 2023,” katanya di sini pada Isnin.

Selain usaha pemeliharaan melalui pelancaran aplikasi-aplikasi itu, kerajaan turut menekankan kepentingan kerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.

Kerjasama dalam pemeliharaan batik boleh dilakukan dengan melibatkan pembekal bahan mentah, pengedar, kerajaan, ahli akademik, pereka, pusat industri kecil dan sederhana, serta industri batik lain, kata Ketua Pengarah Industri Kecil dan Sederhana kementerian itu, Reni Yanita.

“Kerjasama antara ahli-ahli perniagaan dengan bersama-sama memaksimumkan kekuatan mereka akan memberi impak kepada pencapaian matlamat perniagaan yang lebih cekap dan berkesan,” jelasnya.

Menurut Kementerian Perindustrian, industri batik tempatan menggajikan 200 ribu tenaga kerja di 201 pusat industri dan 5,946 industri kecil dan sederhana yang terletak di 11 wilayah setakat Ogos 2024.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here