KUALA LUMPUR, 30 Okt – Peningkatan pelaburan dalam teknologi air, penyelidikan dan pembangunan kemahiran mampu menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan dalam sektor berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata langkah ini bukan sahaja bakal menarik pelaburan asing dalam pelbagai sektor malah turut mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat.

“Sejajar dengan cita-cita ini, Malaysia akan menjadi pusat rujukan global dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), inovasi dan pembangunan bakat,” katanya ketika berucap merasmikan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen.

AIR 2040 merupakan satu daripada agenda nasional bagi mentransformasikan sektor air negara menjadi mampan dan pemangkin pembangunan ekonomi, menjamin bekalan air berkualiti serta memajukan bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE).

Fadillah berkata menurut Bank Dunia, bekalan air mampan dan terjamin diperlukan untuk menyokong operasi industri bagi memastikan kesinambungan aktiviti perniagaan. 

“Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing, keterjaminan bekalan air menjadi aspek penting. Pengurusan air yang efisien bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi domestik tetapi juga memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia kekal kompetitif di mata pelabur antarabangsa,” katanya.

Menurut Fadillah, AIR 2040 itu berpotensi besar memacu Malaysia sebagai hab utama sektor air bagi negara-negara membangun dan serantau ASEAN menjelang 2040.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak mengubah persepsi air sebagai sumber awam semata-mata kerana ia berpotensi besar menjana pendapatan negara sekiranya diuruskan secara efisien.

Sebagai perbandingan katanya,  sektor tenaga dan industri intensif tenaga kini menyumbang kira-kira 28 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja manakala sumbangan sektor air adalah jauh lebih rendah dan masih tidak dapat dikira dengan tepat.

“Tenaga telah diiktiraf sebagai komoditi strategik negara namun kepentingan bekalan air juga perlu dilihat setara dengan tenaga kerana air adalah nadi kepada setiap aspek pembangunan ekonomi.

“Pada masa ini, sebahagian besar projek berkaitan air masih dibiayai kerajaan maka bagi memastikan kelangsungan dan kemampanan sektor ini, perlu ada keseimbangan antara pembiayaan awam dan swasta,” katanya.

Dalam hal ini, Fadillah berkata Jawatankuasa Pengurusan Nasional AIR 2040 yang bakal ditubuhkan, akan menyelaras dan memantau pelaksanaan tindakan telah dikenal pasti oleh semua pihak.

“Penglibatan awam dan swasta juga amat penting dalam menjayakan agenda ini. Pemurnian semula polisi yang mengekang, merangka dasar, mempergiatkan pembiayaan alternatif, diyakini dapat mempercepat dan memperluaskan penyediaan infrastruktur air,” katanya.

Sementara itu, Mad Zaidi dalam ucapan aluannya memaklumkan AIR 2040 yang dilaksanakan menerusi empat fasa di bawah Rancangan Malaysia dari ke-12 hingga 15, bakal memacu keterjaminan dalam aspek kesejahteraan rakyat melalui penerapan lapan pemacu perubahan untuk memperkasa landskap sektor air negara secara holistik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here