BEIJING, 30 Okt – China bersedia bekerjasama dengan Finland untuk memperkasakan kerjasama strategik dan persahabatan tradisional demi manfaat rakyat kedua-dua negara serta keamanan dan pembangunan dunia, kata Presiden China Xi Jinping.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari Finland Alexander Stubb di sini, pada Selasa.
Xi menyatakan bahawa China dan Finland berpegang pada prinsip saling menghormati, kesaksamaan dan saling mengambil kira kepentingan dan keprihatinan pihak lain. Prinsip ini adalah asas kepada hubungan kedua-dua negara yang sihat dan mampan bagi jangka masa panjang.
Beliau berkata China telah memperincikan rancangan untuk memperkasakan pembaharuan secara menyeluruh demi mempromosi modenisasi ala China, dan ia diyakini akan membawa dorongan dan peluang baharu kepada kerjasama China-Finland bahkan pembangunan dunia.
Xi menambah bahawa China bersedia bersama Finland untuk meluaskan pertukaran rakyat dengan rakyat. Untuk itu, China memutuskan untuk melaksanakan dasar pengecualian visa bagi warga Finland selain mengalu-alukan lebih ramai rakyat Finland untuk berurus niaga, melancong dan belajar di negara ini.
Sementara itu, Stubb berkata Finland dengan tegas mempertahankan prinsip satu China dan bersedia bekerjasama dengan China untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, meluaskan pertukaran rakyat dengan rakyat.
Selain itu, Finland komited mempergiat kerjasama praktikal dengan China dalam bidang ekonomi dan perdagangan, tenaga hijau dan pembangunan lestari.
Stubb menegaskan bahawa ekonomi Kesatuan Eropah (EU) dan China mempunyai kaitan rapat, dan beliau percaya tindakan “cantas hubungan” atau “Perang Dingin Baharu” tidak baik untuk kepentingan mana-mana pihak.
Stubb berkata Finland bersedia memainkan peranan membina untuk mendorong hubungan EU-China berkembang mantap.