KUCHING, 31 Okt – Dana melebihi RM100 bilion diperlukan untuk melaksanakan pelbagai pembangunan yang dirancang di Sarawak dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan kerajaan Persekutuan diminta untuk mempertimbangkan keperluan ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan 1,292 kilometer (km) jalan baharu dan naik taraf 4,782 km jalan sedia ada memerlukan dana berjumlah RM38.4 bilion manakala RM20 bilion diperlukan untuk mencapai 100 peratus liputan bekalan air bersih.

“Dianggarkan lebih 5,500 isi rumah belum mendapat bekalan elektrik, justeru Sarawak memerlukan peruntukan berjumlah RM1.3 bilion untuk mencapai 100 peratus bekalan elektrik 24 jam di luar bandar,” kata beliau dalam ucapannya semasa Sesi Libat Urus RMK13 di sini hari ini.

Dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah di majlis itu, Abang Johari berkata sejumlah RM7.89 bilion diperlukan bagi pembinaan fasiliti kesihatan baharu, menaik taraf dan membaik pulih serta menyelenggara fasiliti kesihatan.

“Kerajaan Sarawak memerlukan sejumlah RM5.2 bilion untuk mengatasi masalah sekolah daif dan RM54 juta untuk mengatasi masalah kekurangan fasiliti makmal sains,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata sebanyak RM6.3 bilion diperlukan untuk pembinaan 1,800 menara atau struktur telekomunikasi bagi mencapai liputan Internet sepenuhnya di Sarawak selain RM140 juta diperlukan untuk pengukuran perimeter tanah hak adat bumiputera (NCR).

Beliau turut berharap kerajaan Persekutuan akan mempertimbangkan pembinaan jalan sempadan dan jalan penghubung sepanjang 1,487 km dengan anggaran kos RM38 bilion untuk memastikan kedaulatan negara dijaga dan memangkin pembangunan sempadan.

Beliau berkata Sarawak juga akan membangunkan kawasan jelapang padi dengan anggaran kos RM1 bilion, dengan RM500 juta ditanggung oleh kerajaan negeri dan berharap baki RM500 juta ditanggung kerajaan Persekutuan.

“Saya berharap kerajaan Persekutuan akan meneliti dan mempertimbangkan keperluan Sarawak kerana negeri ini merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. Kemakmuran Sarawak juga akan memakmurkan Malaysia,” tambahnya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Timbalannya Datuk Hanifah Hajar Taib turut hadir di sesi libat urus berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here