PHNOM PENH, 1 Nov – Kemboja pada Khamis melancarkan kempen vaksinasi campak-rubela (MR) di seluruh negara bagi melindungi lebih 1.5 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Kempen ini merupakan langkah penting untuk memperkukuh keselamatan kesihatan, melindungi daripada kemungkinan wabak, dan menyokong matlamat Kemboja untuk menjadi negara bebas campak, menurut kenyataan itu.

Bercakap pada majlis pelancaran di Phnom Penh, Menteri Kesihatan Chheang Ra menggesa semua petugas kesihatan dan rakan kongsi untuk bekerjasama bagi memastikan liputan penuh populasi sasaran dan melindungi semua kanak-kanak di negara ini daripada kedua-dua penyakit berkenaan.

“Petugas kesihatan telah menunjukkan prestasi yang baik dalam kempen pengimunan terdahulu, dan saya yakin bahawa dalam kempen kali ini juga, mereka akan melakukan segala usaha untuk menjangkau semua kanak-kanak, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dan sukar diakses,” katanya.

Menurut kenyataan itu, liputan di seluruh Kemboja pada 2023 bagi dos pertama dan kedua vaksin MR masing-masing adalah 79 dan 64 peratus – angka yang masih di bawah tahap diperlukan untuk mencegah wabak dan mengelakkan kematian daripada jangkitan.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Kemboja, Marianna Trias, berkata campak dan rubela adalah ancaman serius tetapi boleh dicegah sepenuhnya, dan seharusnya tidak perlu dihadapi oleh kanak-kanak Kemboja.

“Kempen di seluruh negara ini adalah langkah penting ke arah kesaksamaan kesihatan, memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam misi kami untuk mempromosi, melindungi, dan menyediakan penjagaan kesihatan untuk semua,” katanya.

“Bersama-sama Kementerian Kesihatan dan rakan kongsi, WHO komited untuk menutup jurang keimunan bagi memperkukuh keselamatan kesihatan dan melindungi semua orang dalam komuniti daripada wabak serta menjadikan Kemboja bebas campak untuk setiap keluarga,” kata Trias.

Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Kemboja, Will Parks  berkata pengimunan sentiasa menjadi teras dalam usaha UNICEF melindungi kanak-kanak paling terpinggir.

“Dengan menyokong kempen vaksinasi ini, kami berharap dapat menyumbang kepada pengukuhan sistem kesihatan di Kemboja untuk mempromosi penyediaan perkhidmatan vaksinasi berkualiti yang mampan kepada semua kanak-kanak,” katanya.

Semua kanak-kanak berusia dari sembilan hingga 59 bulan, termasuk mereka yang telah menerima vaksin campak atau MR sebelum ini, digalakkan untuk menerima satu dos bagi meningkatkan keimunan  komuniti, menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here