KUCHING, 24 Dis — Sarawak masih berada pada landasan tepat untuk mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 walaupun terjejas akibat penularan COVID-19, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata masa depan Sarawak cerah selagi rakyatnya tidak mensia-siakannya dengan mengulangi dan membangkitkan isu perkauman serta agama yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian dinikmati selama ini.

“Ia (asprasi untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi) bukanlah cakap kosong kerana asas ekonomi kita kukuh, dasar kita disusun dan diselaraskan semula selepas COVID-19, manakala kestabilan politik kita pula dicemburui pihak lain,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2020 dan Tahun Baru 2021.

Beliau berkata, ‘perjanjian penyelesaian komersial’ (CSA) yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petronas baru-baru ini, memberi jaminan hasil lebih banyak kepada Sarawak melalui sumber minyak dan gas, selain royalti lima peratus yang diterima bernilai antara RM700 juta hingga RM800 juta setahun.

“Cukai jualan petroleum pada kadar lima peratus, yang mahkamah telah berikan kuasa kepada Sarawak untuk kuatkuasakannya akan memberi pendapatan baharu sekitar RM3.2 juta setiap tahun,” katanya.

Abang Johari berkata CSA telah membuka jalan kepada Sarawak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti huluan dan hiliran sumber minyak dan gas melalui Petros, iaitu syarikat minyak dan gas Sarawak, dan menjadi satu-satunya tempat di Malaysia menghidupkan semula perlombongan minyak di darat.

“Walaupun mendapat kritikan daripada pihak tertentu, CSA memberi tawaran lebih baik kepada Sarawak dan mengesahkan hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas serta kesahihan Ordinan Perlombongan Minyak 1958. Kita perlu bekerjasama untuk membangunkan Sarawak ke arah ekonomi digital, memanfaatkan kekayaan sumber semula jadi dan bakat yang ada,” katanya.

Beliau berkata berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ekonomi negeri terjejas sehingga mengakibatkan banyak perniagaan bergelut untuk bertahan serta pekerja diberhentikan, kerajaan negeri Sarawak mengadakan bantuan khas dikenali sebagai Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dalam tiga fasa membabitkan dana berjumlah RM2.6 bilion.

“Ini adalah jumlah bantuan kedua terbesar daripada mana-mana kerajaan negeri selain bantuan daripada kerajaan pusat. Kerajaan negeri juga masih memberikan beberapa kategori bantuan hingga akhir tahun ini bagi mengurangkan kesan kepada golongan terjejas,” katanya.

Pada penganut Kristian yang bakal meraikan Hari Krismas, Abang Johari menzahirkan rasa sedih kerana seperti mana-mana perayaan yang disambut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP), perayaan Krismas tahun ini tidak akan dapat disambut seperti sebelumnya, kerana sekatan perjalanan dan aktiviti perhimpunan yang tidak dibenarkan.

“Saya sedar ramai yang tinggal di luar Sarawak ketika ini, tidak dapat kembali ke kampung halaman, rumah panjang dan kampung mereka, kerana bimbang boleh mengakibatkan berlakunya peningkatan kes COVID-19. Bagi pihak kerajaan negeri, saya amat berharap kepada mereka yang terlibat memahami keperluan untuk bertindak tegas mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here