ARAU, 12 Okt — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini menyarankan kerajaan terus memberi perhatian kepada usaha meningkatkan dan memantapkan lagi ekonomi negeri Perlis berikutan situasi ekonomi yang sentiasa dinamik.

Baginda bertitah langkah yang boleh diambil termasuklah menarik lebih banyak pelaburan bersaiz mega, berimpak tinggi dan mampan yang memberikan faedah besar kepada rakyat negeri ini.

“Dalam menuju wawasan Perlis Negeri Bandaraya menjelang tahun 2030, beta berharap pertumbuhan ekonomi negeri akan terus berkembang, bertambah kukuh dan makmur,” titah baginda pada istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran negeri Perlis sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-76 di Istana Arau di sini.

Pada istiadat penganugerahan itu hari ini, seramai 19 daripada 198 penerima dianugerahkan darjah dan pingat kebesaran manakala baki 179 penerima akan menerima darjah dan pingat kebesaran masing-masing pada tarikh berasingan.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah suatu ekosistem yang baik dalam persekitaran tersusun dan kondusif juga perlu diwujudkan untuk menjadikan Perlis sebagai negeri pilihan.

“Beta yakin faedah gandaan ekonomi yang besar di dalam ekosistem yang terancang ini akan dapat dinikmati oleh mereka yang memilih Perlis sebagai tempat tinggal di masa depan,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda menyeru kerajaan negeri terus komited melipatgandakan usaha serta bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dan pelabur swasta untuk merealisasikan hasrat murni berkenaan.

“Di kesempatan ini juga, beta ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia atas segala bantuan dan sokongan berterusan yang dihulurkan kepada kerajaan negeri Perlis,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah kerjasama dan komitmen kerajaan Persekutuan dalam pembangunan ekonomi dan sosial di negeri ini amat besar manfaatnya demi kesejahteraan rakyat Perlis dan Malaysia amnya.

Sementara itu, baginda menyarankan supaya aset semulajadi di Perlis dikomersialkan sepenuhnya sebagai tarikan pelancongan utama oleh pengusaha persendirian.

“Beta gembira melihat persekitaran negeri ini yang aman damai dan kaya dengan pemandangan semula jadi yang mempersonakan. Ini adalah identiti dan aset penting bagi Negeri Perlis,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin berharap semua rakyat khususnya golongan belia mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran bersesuaian yang akan membolehkan mereka merebut peluang pekerjaan dan peluang ekonomi lain yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini.

“Amat malang sekiranya peluang-peluang ini terlepas begitu sahaja dan direbut oleh orang lain,” titah baginda.

— BERNAMA  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here