PETALING JAYA,Jan 18: Kerajaan mempunyai kuasa di bawah undang-undang darurat untuk mewajibkan vaksinisasi Covid-19 ke atas semua orang, kata seorang peguam hari ini.

A Srimurugan memberitahu FMT, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk “mengeluarkan perintah rawatan, imunisasi, pengasingan, pemerhatian atau pengawasan”.

Sekiranya vaksinisasi wajib diperintahkan, seseorang yang gagal mengambil vaksin boleh didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Hukuman juga boleh ditambah bagi kesalahan berikutnya atau kesalahan berterusan.

Bagaimanapun beliau berkata, individu yang percaya mereka akan berdepan kesan sampingan buruk daripada vaksin mestilah dibenarkan mendapatkan nasihat yang wajar.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, kebimbangan berhubung vaksinisasi adalah masalah benar, terutama berhubung vaksin Covid-19 kerana ia dibangunkan terlalu cepat.

Namun katanya, proses vaksinisasi akan dijalankan sesuai dengan panduan tepat seperti digariskan oleh pengeluar.

“Buat masa ini, sesetengah kumpulan orang dikecualikan daripada vaksinisasi.

“Ini termasuklah kanak-kanak, wanita hamil, orang yang mempunyai sejarah alahan dan mempunyai masalah kekurangan imun,” katanya.

Lee juga menimbulkan kebimbangan mengenai rancangan untuk mencapai “imuniti kelompok” dalam kalangan masyarakat, dengan berkata, status itu sukar dicapai di negara ini kerana ia memerlukan 70% populasi diberikan vaksin.

“Buat masa ini, mereka yang dianggap tidak sesuai diberikan vaksin seperti kanak-kanak dan wanita hamil, melebihi 30% populasi.

“Lagipun, walaupun vaksin boleh melindungi seseorang daripada dijangkiti Covid-19 selepas terdedah kepada virus itu, kita tidak pasti apakah ia dapat mencegah jangkitan,” katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha meredakan kebimbangan mengenai keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech, dengan berkata, ia memenuhi kriteria keselamatan dan keberkesanan “wajib” pertubuhan itu.

Seorang pegawai WHO berkata, manfaat menggunakan vaksin bagi menangani Covid-19 melebihi potensi risikonya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here