KUALA LUMPUR, 26 Jan– Sektor pertanian dan perladangan dijangka menyaksikan penggunaan teknologi dron yang meningkat secara meluas tahun ini berikutan peningkatan permintaan dan kesediaan teknologi, justeru membolehkan transformasi dipacu teknologi untuk memastikan kecekapan dan kemapanan.

Pengurus Teknologi Dron dan Ekosistem Revolusi Perindustrian Keempat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Wan Mohd Farhan Wan Mohd Fuad berkata COVID-19 telah merangsang dan mempercepatkan keperluan pendigitalan dan penerimaan teknologi dron dalam sektor ini.

“Berikutan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (sejak) tahun lepas, teknologi dron dilihat lebih kos-berkesan dan pilihan lebih baik terutamanya bagi industri konvensional di Malaysia seperti penanaman padi dan perladangan sawit,” katanya ketika Sidang Kemuncak Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) Maya Pertama Dunia semalam.

Sidang kemuncak itu disertai 300 peserta dari seluruh negara dengan menampilkan penceramah dan pihak berkuasa pengawalseliaan dari pelbagai negara seperti China, Jepun dan Greece serta entiti tempatan seperti —  Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia dan Agensi Keselamatan Siber Negara Malaysia.

Wan Mohd Farhan berkata, selain itu MDEC juga berharap mempunyai peluang untuk melakukan ujian penghantaran dron rentas sempadan dengan negara-negara jiran.

“Ini memerlukan pengharmonian di seluruh rantau ini dan kita juga memerlukan teknologi yang boleh dipercayai, bersepadu dan selamat bagi menjadikannya realiti,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata MDEC perlu mengenal pasti lebih banyak teknologi dron dan pelbagai penggiat di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk memperkukuhkan maklumat dan data serta membantu syarikat untuk lebih berkembang di pasaran.

“Daripada perspektif nasional, kita akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan kadar penggunaan digital dalam industri konvensional,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan bahawa MDEC akan terus mendidik masyarakat mengenai peraturan dan syarat bagi memastikan risiko melibatkan penerbangan dron dapat dikurangkan berikutan lebih ramai pengguna dron peribadi dan komersial menggunakan peralatan itu untuk pelbagai tujuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here