KUALA LUMPUR, 16 Okt — Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan merasmikan Festival Kesenian, Kebudayaan Kemahiran dan Keusahawanan Pendidikan Khas Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019 di Kompleks Kraf di sini.

Festival tiga hari yang bermula hari ini merupakan platform bagi murid pendidikan khas dan guru mempamerkan keupayaan dan kemampuan sebenar dalam usaha memartabatkan kesenian dan kebudayaan dalam kalangan warga pendidikan khas ibu negara.

Keberangkatan Tunku Azizah itu juga merupakan simbolik kepada kesinambungan tradisi keprihatinan institusi Diraja terhadap kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Datuk Yasmin Hussain dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kraftangan Malaysia ‘Ainu Sham Ramli.

Pada majlis itu, Tuanku Azizah dan kira-kira 1,000 hadirin dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional serta nyanyian oleh pelajar Sekolah Seni Malaysia dan Sekolah Pendidikan Khas Setapak.

Baginda turut berkenan mencemar duli melawat tapak pameran serta tempat pertandingan dan turut beramah mesra.

Festival itu melibatkan hampir 300 murid pelbagai keperluan khas dari 53 sekolah yang menawarkan Program Pendidikan Khas Integrasi dan Sekolah Pendidikan Khas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sebanyak 11 acara dipertandingkan dalam acara itu antaranya gubahan sirih junjung, hiasan pulut kuning, masakan tradisional tempatan dan mewarna batik.

Menambah keceriaan pada majlis itu, Raja Permaisuri membuat kejutan apabila berkenan mendendangkan lagu Bassanova, yang pernah dipopularkan oleh penyanyi Wann, bersama seorang pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di sini.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis, pelajar Aneesya Ramadani Atuni, 13, berkata beliau tidak menyangka berpeluang berkongsi mikrofon ketika sedang membuat persembahan ‘busking’ untuk festival itu.

“Saya diberitahu guru bahawa Raja Permaisuri akan datang ke program ini, tapi tak terfikir akan dapat berjumpa dan tak sangka dia datang melawat ke gerai pameran.

“Ketika saya menyanyi tiba-tiba nampak ramai orang, kemudian saya nampak Raja Permaisuri datang jadi saya hulurkan tangan untuk bersalam, lepas salam tak sangka dia mengambil mikrofon dan menyanyi bersama ,” katanya teruja.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here