KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) — Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2019 yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM9.1 juta sekaligus melebihi sasaran awal RM6 juta.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata jumlah sumbangan kempen yang bermula sejak Ogos lalu itu membuktikan penghargaan rakyat Malaysia kepada golongan veteran tentera yang banyak berjasa kepada negara.

“Sehingga hari ini, jumlah kutipan yang telah diperolehi adalah RM9,196,379.15, saya bagi pihak kementerian pertahanan berbesar hati merakamkan terima kasih pada semua yang terlibat dalam kempen ini,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Amal KTP 2019, di sini malam ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri yang juga penaung KTP, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga hadir pada majlis makan malam itu.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Menurut beliau lagi dalam memastikan kempen itu mencapai objektifnya, beberapa langkah promosi dilaksanakan termasuk mengadakan program Semarak Kasih Veteran: Food For Gelandangan, kempen derma darah dan juga beberapa siri ‘flash mob’ di sekitar kawasan ibu negara. “Program lain yang akan dilaksanakan adalah jelajah motosikal kempen Tabung Pahlawan yang dijangka bermula bulan November ini serta larian amal veteran ATM dan malam penghargaan pada bulan Februari tahun depan,”katanya.

Tabung Pahlawan ditubuhkan sekitar 1950 dan diteruskan sehingga kini untuk mengumpul dana bagi membantu veteran ATM.

Pada majlis sama turut mencuri tumpuan ialah penampilan istimewa gesekan biola Dr Siti Hasmah yang memukau hadirin yang hadir.

Isteri perdana menteri itu mempersembahkan empat buah lagu iaitu Pahlawanku, Selendang Sutera, ‘In Our Tears’ dan ‘Coming Home’ diiringi suara merdu Datuk Seri Siti Nurhaliza serta Kombo Seni Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Lebih 400 tetamu yang terdiri daripada penderma dan penyumbang KTP serta pegawai-pegawai ATM yang hadir terhibur dengan persembahan itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here