PUTRAJAYA, 11 Feb — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju memberikan pertimbangan bagi kelulusan khas perpindahan keluar dan masuk di skim strata, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KPKT dalam kenyataan hari ini menyatakan, permohonan bagi mendapatkan kelulusan khas itu bagaimanapun, hanya terpakai bagi mereka yang berada dalam situasi mendesak yang memerlukan pergerakan dan perpindahan keluar masuk, di skim strata tersebut.

“Sehubungan itu, individu dan pihak yang terlibat, boleh mengemukakan permohonan bertulis kepada KPKT bagi memohon kelulusan khas ini,” menurut kenyatan itu.

Menurut kenyataan KPKT itu lagi, syarat ditetapkan ialah mengemukakan dokumen perjanjian sewaan yang ditamatkan atau baru dimeterai atau urusan jual beli bagi rumah baharu atau pengesahan keluar rumah oleh pemilik.

“Mereka juga perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merentas daerah atau negeri, perpindahan mendapat sokongan daripada badan pengurusan skim strata yang terlibat, dan tidak bergejala COVID-19,” menurut kenyatan tersebut.

KPKT menyatakan, pekerja perkhidmatan pemindahan yang terlibat disahkan sihat, negatif COVID-19 dan bukan kontak rapat pesakit, serta mengisytiharan cadangan tarikh dan masa perpindahan yang spesifik.

“Kementerian bersedia untuk memberi pertimbangan sewajarnya kepada permohonan kelulusan khas ini, sekiranya ia memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan KPKT itu lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here