KUALA LUMPUR,15 Mac: Syarikat Lay Hong Bhd akan beri kerjasama penuh dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan merancang untuk memperkukuhkan amalan kawalan dan pemantauan ladang berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) dalam telur yang dieksport satu daripada ladangnya di Jeram, Selangor.

“Keutamaan kami adalah keselamatan pelanggan kami. Kami kini bekerjasama erat dengan JPV bagi menyiasat dan memantau ladang yang didakwa terbabit dengan penemuan SE,” kata Pengarah Eksekutifnya, Datuk Yap Chor How.

Kumpulan itu bersetuju dengan JPV untuk menggantung operasi di ladang Jeram 1, yang pengeluaran telur dari ladang itu kebanyakannya dieksport ke Singapura.

“Operasi di ladang Jeram 1 ketika ini dihentikan daripada pasaran domestik dan eksport sementara menunggu siasatan oleh JPV selesai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chor How berkata, Lay Hong memberi jaminan bahawa tiada telur yang akan dijual dari ladang Jeram 1 dan kumpulan itu hanya akan menyambung semula bekalan telur dari ladang tersebut selepas siasatan mengenainya selesai.

Buat masa ini, semua ladang lain di Jeram (ladang Jeram 2 hingg 6) telah diuji negatif untuk Salmonella dan ladang itu dibahagikan kepada ladang satelit yang lebih kecil dan terpisah antara satu sama lain secara fizikal walaupun berada di Jeram.

“Setiap ladang satelit ini memiliki peralatan penggredan bagi menangani pencemaran antara ladang-ladang itu. Semua langkah pencegahan ini sudah dijalankan selama bertahun-tahun untuk memastikan bekalan telur kami tidak terjejas sekiranya satu daripada ladang berkenaan tercemar.

“Langkah tersebut membolehkan kami terus membekalkan telur kami dari ladang lain kepada pelanggan kami,” katanya.

Beliau berkata, Lay Hong akan memantapkan proses pertanian syarikat dan yakin dapat mengatasi insiden tersebut dengan kawalan dan pemantauan yang lebih teliti pada masa depan.

Semalam, empat pengimport di Singapura diarahkan untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Bhd Layer Farm di Jeram, Malaysia berikutan penemuan SE dalam produk itu yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya dimakan secara mentah atau kurang masak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here