PETALING JAYA,18 Mac: Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan membidas dakwaan seorang Ahli Parlimen PKR bahawa beliau dihubungi dan ditawarkan peruntukan serta kontrak sekiranya bersetuju untuk melompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, jika dakwaan itu benar, wakil rakyat PKR tersebut boleh membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memulakan siasatan.

“Nampaknya pembangkang masih tak habis-habis dengan budaya fitnah. Strategi memburukkan kerajaan, menimbulkan keraguan dan melontar tohmahan ini memang sudah lama jadi amalan mereka.

“Kali ini Ahli Parlimen PKR mendakwa seorang yang bernama ‘Azhar’ hubunginya dan buat tawaran bagi pihak parti (PPBM).

“Siapa ‘Azhar’ ini. Dia dari parti mana,” soal Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Terdahulu Ahli Parlimen Padang Serai M Karupaiya mendakwa individu bernama Azhar menghubunginya dengan membuat tawaran menyertai PPBM serta berjanji untuk menyalurkan peruntukan dan kontrak sekiranya beliau bersetuju untuk melompat parti dan menyokong kerajaan PN.

Karupaiya berkata, beliau bagaimanapun menolak tawaran berkenaan dan memberitahu lelaki tersebut bahawa beliau setia kepada perjuangan parti.

Katanya, keputusan itu turut disenangi oleh rakyat kerana beliau tidak melompat parti, seperti dilakukan segelintir wakil rakyat lain.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, dalam kalangan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM tidak ada individu bernama Azhar.

“Entah siapa yang hubungi dia, tiba-tiba nak fitnah orang lain pula,” katanya.

Wan Saiful berkata, Karupaiya seharusnya mengetahui sama ada individu yang menghubunginya itu merupakan wakil parti atau sebaliknya.

Katanya, PKR kini “sedang runtuh” kerana ketidakyakinan ahlinya sendiri kepada parti itu.

“Janganlah gunakan taktik cuba kaitkan parti dengan ‘stranger’ yang datang entah dari mana atau dicipta sendiri.

“Krisis dalaman PKR amat besar dan sedang membarah. Selesaikanlah masalah dalam parti sendiri. Jangan ubah topik dan alih perhatian dengan cara memfitnah,” katanya.

Karupaiya merupakan salah seorang daripada lima Ahli Parlimen PKR yang dinamakan oleh presiden parti itu Anwar Ibrahim sebelum ini yang didakwa dipancing supaya keluar parti dan menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin.

Empat yang lain adalah S Kesavan (Sungai Siput), Awang Husain (Putatan), Michael Teo Yu Keng (Miri), dan Natrah Ismail (Sekijang).

Terdahulu, Natrah dikaitkan dengan dakwaan yang dibuat di laman Facebook, “Ops Johor”, yang mendakwa Ahli Parlimen itu ditawarkan wang RM10 juta supaya “berhijrah” menyokong parti lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here