PETALING JAYA,Mar 23: Kebanyakan 22,000 doktor kontrak yang menerima surat kenaikan pangkat daripada kategori UD41 ke UD43 pada minggu lalu tidak akan dapat kenaikan gaji kerana bayaran semasa mereka lebih tinggi daripada bayaran permulaan dalam skala baharu itu.

Menurut beberapa doktor, gaji pokok mereka sekarang adalah RM3,622 manakala gaji permulaan bagi gred UD43 adalah RM3,611.

“Menurut beberapa doktor, hanya mereka yang dilantik baru-baru ini untung kerana mereka bermula dengan gaji pokok sebanyak RM3,397.

“Tetapi gaji kebanyakan kami ini RM3,622 selepas kenaikan tahunan sebanyak RM225,” kata seorang doktor.

Walaupun tarikh pelantikan baharu itu diundurkan enam hingga sembilan bulan, keadaan ini menjadikan ia tidak bermakna apa-apa.

“Berdasarkan kontrak ini, saya akan terus menerima bayaran sama sehingga saya dapat kenaikan tahunan,” katanya.

Menurut fasal gaji dalam kontrak baharu mereka, seperti yang dilihat FMT, mereka akan diberi gaji permulaan mengikut gred baharu itu sekiranya gaji baharu lebih tinggi atau mereka dibayar mengikut kategori lama sekiranya gaji baharu lebih rendah.

Perbezaannya adalah gaji maksimum, iaitu RM10,650 bagi UD43 berbanding RM9,656 dalam skala lama, tetapi akan mengambil masa lebih 20 tahun untuk mencapai kadar maksimum itu.

“Berdasarkan kenaikan tahunan sebanyak RM250, ia akan mengambil masa lebih 20 tahun sebelum kami capai kadar maksimum itu,” katanya.

“Namun ketika itu tak jadi hal kerana kami diberi kontrak dua tahun,” katanya.

Seperti doktor lain, beliau berharap Kementerian Kesihatan akan menjadikan kenaikan pangkat ini lebih bermakna dengan memberi kenaikan gaji.

Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) berkata langkah kenaikan pangkat ini nampaknya pangkat semata-mata.

“Adalah adil untuk berikan kenaikan gaji mengikut skala baharu kerana kalau tidak kenaikan ini akan jadi tidak bermakna. Para doktor ini adalah petugas barisan depan dan mereka bekerja keras,” kata Setiausaha Agung Abdul Rahman Mohd Nordin.

“Ketika ini mereka dibayar lebih rendah berbanding rakan sejawat berjawatan kekal walaupun mereka melakukan kerja yang sama,” katanya.

Rahman mahu kementerian menjelaskan adalah doktor kontrak baharu selepas ini akan diletakkan dalam kategori UD43 atau UD41.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengumumkan pegawai perubatan kontrak akan dinaikkan pangkat ke kategori baharu pada Disember lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here